BAHAN KEMAHIRAN BERBAHASA (MENDENGAR DAN
BERTUTUR)
KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR
1. Kemahiran Mendengar: satu proses yang
melibatkan dua kemahiran:
a. menerima dan membezakan bunyi-bunyi
bahasa yang hampir sama, cth:
b – p (badang – padang)
d – t (datang – tatang)
l – r (lali – lari)
k – g (kalah – galah)
b. memahami bunyi bahasa yang bermakna
seperti perkataan, frasa, klausa dan
ayat. Untuk memahami bunyi bahasa,
murid perlu mempunyai unsur-unsur
kefahaman berikut:
i. Pengetahuan yang sedia ada pada
pendengar seperti fakta dan budaya bahasa
yang didengar dan bagaimana bahasa
digunakan.
ii. Pengetahuan tentang situasi
berlakunya pertuturan yang didengar.
iii. Pengetahuan tentang sistem bahasa.
Proses
mendengar adalah satu aktiviti yang aktif. Pendengar mesti mengenal pasti dan
mengetahui makna bunyi bahasa. Pendengar juga memilih dan menyimpan apa yang
difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan mendengar adalah satu proses yang
aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar.
Mendengar melibatkan dua proses utama,
iaitu:
i. Membuat jangkaan: -
Apabila kita mendengar sesuatu, kita akan
membuat jangkaan dalam fikiran terhadap apa yang kita dengar seterusnya.
Contoh : apabila kita mendengar berita
kebakaran, kita akan membuat jangkaan tentang kemungkinan peristiwa yang akan
berlaku berkaitan dengan kebakaran. Apabila jangkaan seperti ini dibuat, kita
dapat mendengar dengan lebih berkesan lagi.
ii. Menentukan tujuan:
Murid perlu menentukan tujuan ia
mendengar, sama ada untuk hiburan, pengetahuan atau maklumat. Mendengar tanpa
tujuan adalah tidak berguna.
Faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran
mendengar
(a) Fizikal – murid yang normal dapat
mendengar dengan sempurna, tetapi
peringkat kemahiran
ini berbeza antara setiap individu; ada yang
tajam pendengarannya
dan ada pula yang sebaliknya walaupun
mereka tidak tergolong
dalam cacat pendengaran.
(b) Jantina – terdapat perbezaan
kemahiran mendengar antara kanak-kanak lelaki
dengan kanak-kanak
perempuan, misalnya kanak-kanak lelaki yang
berumur antara 7-9
tahun lebih lemah kemahiran mendengar mereka
berbanding dengan
kanak-kanak perempuan yang sebaya
dengannya.
(c) Status sosioekonomi – latar belakang
keluarga, kemudahan di rumah, interaksi
antara
ahli keluarga mempengaruhi kebolehan
mendengar dan emosi kanak-kanak.
Kanak-kanak yang
terganggu
emosinya tidak akan dapat memberi
tumpuan
sepenuhnya terhadap apa yang didengar.
(d) Gangguan bunyi – bunyi bising boleh
mempengaruhi kebolehan mendengar.
(e) Mental – kemahiran mendengar berkait
rapat dengan daya pemikiran kerana
sesuatu yang didengar
melalui deria telinga akan melalui proses
mental untuk mendapat
tindak balas. Tahap pemikiran kanak-kanak
akan mempengaruhi
kecekapan mendengar mereka.
Kemahiran mendengar dalam KBSR
Program
Bahasa Melayu KBSR memberi penekanan kepada kemahiran asas berbahasa, iaitu
mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Setiap kemahiran ini diajar secara
gabung jalin. Penggunaan satu-satu kemahiran ini akan mempengaruhi penguasaan
kemahiran yang lain.
Dalam
mempelajari bahasa akan wujud perbualan; dan perbualan memerlukan kesepaduan
antara kemahiran mendengar dengan kemahiran bertutur. Begitu juga, kemahiran
mendengar boleh membantu murid menguasai kemahiran menulis. Kemahiran mendengar
yang kurang baik menyebabkan seseorang murid itu tidak dapat membezakan
bunyi-bunyi bahasa yang didengarnya. Oleh itu, ia mungkin menulis menurut apa
yang didengarnya, yang berbeza daripada ujaran sebenar. Kemahiran mendengar
menjadi asas kepada kemahiran membaca. Dengan itu pengukuhan kemahiran
mendengar juga membantu murid menguasai kemahiran membaca dengan baik.
Masalah dalam menguasai kemahiran
mendengar
(a) Kekeliruan dalam membezakan bunyi
(b) Kelemahan dalam memahami apa yang
didengar
(c) Tidak cekap dalam memproses maklumat
(d) Kelajuan dalam pertuturan
(e) Gaya pertuturan – tekanan, intonasi,
nada, jeda, kepanjangan dan dialek.
Pemilihan bahan dalam kemahiran mendengar
(a) Alat elektronik – radio, televisyen,
video, karaoke, pita rakaman boleh
membantu
kerana bahagian-bahagian tertentu boleh diulang
tanpa
perubahan suara, intonasi dan sebagainya.
(b) Bahan rangsangan – bahan yang
digunakan untuk pengajaran dan
pembelajaran
mendengar, contohnya:
Bahan bentuk prosa:
Cerita, kuiz
Pesanan, temu ramah
Peraturan, syarahan
Iklan, laporan
Pengumuman, perbahasan
Perbualan/dialog, taklimat
Berita, wawancara
Ucapan, mesyuarat
Perbincangan, kempen
Surat, drama
Bahan bentuk puisi:
Pantun, syair
Sajak, nyanyian
Bahasa berirama
Bahan bentuk grafik
Pelan, rajah
Jadual, peta
Borang, graf
Gambar foto, carta
Gambar rajah
Bahan-bahan
ini boleh dicetak dan dirakamkan dalam bentuk audio dan video. Semasa
menyediakannya guru perlu memastikan bahan-bahan ini tidak terlalu panjang dan
hendaklah disesuaikan dengan kebolehan murid.
Aktiviti mendengar
Ada 2 peringkat:
i. mendengar untuk mengenal pasti
pelbagai bunyi bahasa. Contoh:
a. mendengar dan menyebut perkataan
secara latih tubi:
ladang - padang
pantai - pandai
lali - lari
galah - kalah
b. latih tubi pemintal lidah:
Pandang pandan depan padang.
Letak tulang atas dulang
Berat beras dua belas kilo
Dari darah dari nanah yang punah di tanah
c. memadankan perkataan dengan gambar:
Tuliskan huruf A, B atau C dalam ruang di
bawah gambar yang sesuai.
A = buku
B = kuku
C = duku
ii. Mendengar untuk memahami dan
bertindak balas.
Pada peringkat ini, latihan diberi untuk
menguji pemahaman murid terhadap apa yang diperdengarkan dan seterusnya
bertindak balas. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dijalankan, antaranya
ialah:
(a) Aktiviti mendengar yang memerlukan
tindak balas ringkas.
(b) Aktiviti mendengar yang memerlukan
tindak balas lebih lama.
(c) Aktiviti mendengar sebagai asas untuk
belajar dan berbincang.
1. Contoh latihan mendengar yang
memerlukan tindak balas ringkas:
a. Melakukan pergerakan mengikut arahan:
”Duduk”
”Tututp pintu”
”Berdiri tegak, rapatkan kaki.”
”Angkat tangan kanan ke atas dan kaki
kiri ke hadapan”
”Pusing kiri”
”Pusing kanan”
b. Menandakan butiran yang berkaitan.
Latihan ini
biasanya menggunakan petikan yang ringkas yang diperdengarkan kepada murid dan
mereka diminta menandakan butiran yang berkaitan. Petikan ringkas ini dibaca
atau diperdengarkan melalui pita rakaman. Contoh:
Seorang
perempuan membawa tiga orang anaknya ke sebuah restoran dan memesan makanan
daripada pelayan restoran tersebut.
”Berikan
saya secawan teh, dua pinggan nasi lemak dan sepinggan bihun goreng.”
Murid diberi
kertas edaran yang mengandung senarai menu makanan dan minuman. Sambil
mendengar petikan dibaca, murid diminta menandakan butiran-butiran berkenaan.
Makanan; Minuman
Pulut panggang; Kopi
Mi rebus; Teh
Bihun goreng; Nescafe
Kek; Milo
Karipap; Air sejuk
Nasi lemak; Sirap
c. Menandakan betul atau salah.
Murid diberi
kertas edaran yang mengandung bahan grafik seperti gambar, gambar rajah, graf
atau jadual yang diikuti dengan senarai pernyataan. Semasa guru membacakan
pernyataan-pernyataan tersebut, murid mendengar sambil menandakan ( / ) bagi
pernyataan yang betul dan ( x ) bagi pernyataan yang salah berdasarkan bahan grafik
yang diberi.
d. Menyusun gambar.
Murid diberi
gambar yang tidak mengikut susunannya. Sambil mendengar bahan rangsangan
seperti cerita atau puisi yang berkaitan daripada guru, mereka menyusun
gambar-gambar itu mengikut urutan yang betul.
e. Mendengar dan memilih gambar.
Satu set gambar yang seakan-akan serupa
diberi kepada murid. Mereka mendengar penerangan daripada guru atau pita
rakaman dan memilih gambar yang tepat mengikut penerangan yang didengar.
f. Melukis bahan berbentuk gragik.
Dalam aktiviti ini murid mendengar
penerangan yang diberi oleh guru. Sambil mendengar, murid merakamkan
maklumat-maklumat itu dalam bentuk grafik seperti gambar, gambar rajah, carta,
graf atau jadual. Contoh:
Guru bercerita:
”Encik Hamid berkahwin dengan Puan Halimah
dan mendapat sepasang cahaya mata. Yang sulung bernama Faisal dan adiknya
bernama Aini. Faisal berkahwin denganZaharah dan mendapat tiga orang cahaya
mata iaitu Sasha, Izwan dan Azmi. Faisal kemudiannya mendapat pula dua orang
anak saudara hasil perkahwinan Aini dengan Haris. Nama-nama mereka ialah Hafiz
dan Khairul.”
Sambil mendengar cerita di atas, murid
dikehendaki melukis carta jurai keturunan.
g. Menandakan lokasi dan arah perjalanan.
Aktiviti ini memerlukan murid mendengar
dengan teliti cerita, penerangan atau arahan yang diberi. Murid menandakan
lokasi dan arah perjalanan di atas peta mengiktu pernyataan yang didengar.
Contoh:
Setiap murid diberi sebuah peta kawasan
perumahan. Guru menerangkan arah perjalanan seseorang ke tempat-tempat tertentu
seperti sekolah, kedi buku, kedai runcit dan rumah kawan. Sambil mendengar
penerangan guru, murid dikehendaki menandakan lokasi arah dan perjalanan di
atas peta berkenaan.
h. Mengisi jadual.
Dalam aktiviti ini murid diberi jadual
yang tidak lengkap untuk dimuatkan dengan data. Sambil mendengar bahan
rangsangan seperti cerita, dialog atau penerangan, murid mengisi jadual
tersebut dengan data yang diperlukan.
i. Teka siapa saya.
Aktiviti ini merupakan sejenis permainan
yang membolehkan murid mendengar dengan teliti dan memberi jawapan dengan
tepat. Guru menerangkan tentang sesuatu dan murid cuba meneka apa yang
diterangkan oleh guru. Penerangan tentang sesuatu benda yang akan diteka itu
diteruskan sehingga murid dapat meneka dengan betul. Biasanya bahan rangsangan
yang digunakan berbentuk teka-teki.
Contoh:
”Rupa saya bulat. Saya boleh melompat dan
berguling-guling. Manusia sanggup bersusah payah untuk menonton saya. Cuba teka
siapakah saya?”
2. Aktiviti mendengar yang memerlukan
tindak balas yang lama.
Aktiviti jenis ini memerlukan murid
menjawab soalan kefahaman, membuat ulasan, meringkaskan dan mencatat isi-isi
penting daripada bahan yang didengar.
Contoh aktiviti:
i. Menjawab soalan kefahaman.
Berdasarkan bahan rangsangan yang
diperdengarkan, murid diminta menjawab soalan-soalan kefahaman sama ada
berbentuk objektif, aneka pilihan dan jenis terbuka. Contoh: murid
diperdengarkan dengan ucapan guru besar pada ”Hari Guru”. Kemudian mereka
diminta menjawab soalan-soalan berdasarkan ucapan tersebut.
ii. Mencatat isi, mengulas dan membuat
ringkasan.
Murid mendengar bahan rangsangan seperti
ucapan, lakonan, syair dan sajak. Sambil mendengar, mereka dikehendaki mencatat
isi, mengulas atau membuat ringkasan daripada bahan yang didengar.
3. Aktiviti mendengar sebagai asas untuk
belajar dan berbincang.
Aktiviti mendengar jenis ini merupakan
langkah awal bagi satu pengajaran dan pembelajaran bahasa. Masa yang
diperuntukkan adalah singkat. Walau bagaimanapun, langkah ini menjadi asas bagi
aktiviti seterusnya. Murid mendengar dan memahami bahan rangsangan dan
seterusnya menjalankan aktiviti seperti menterjemah dan menilai.
Aktiviti-aktiviti ini memerlukan murid berbincang secara kumpulan dan hasilnya
dilaporkan secara lisan atau bertulis, atau kedua-duanya sekali.
Contoh aktiviti:
i. Mengkategorikan fakta.
Dalam aktiviti ini murid diperdengarkan
dengan bahan rangsangan seperti rencana, komentar, dokumentari dan perbahasan.
Berdasarkan rangsangan ini, murid diminta mengkategorikan maklumat, kenyataan,
pendapat dan ulasan.
ii. Menilai perwatakan.
Bahan rangsangan yang diperlukan bagi
aktiviti ini seharusnya membolehkan murid menilai perwatakan seseorang.
Contohnya, rakaman, perbualan, dialog, lakonan, perbincangan dan forum. Setelah
mendengar bahan rangsangan ini, murid diminta menilai sikap dan pendirian
penutur.
iii. Mendengar untuk mencantum maklumat.
Dalam aktiviti ini murid dibahagikan
kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mendengar petikan yang berbeza tetapi
berkaitan. Mereka kemudian bertukar-tukar maklumat dan mencantumkan maklumat
ini untuk membolehkan murid melaksanakan tugasan.
Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran kemahiran mendengar
Dalam melaksanakan aktivit mendengar,
guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan
kelicinan dan keberkesanan pengajaran. Perancangan ini boleh dibuat mengikut
peringkat berikut:
(a) Peringkat pramendengar
(b) Peringkat semasa mendengar
(c) Peringkat selepas mendengar
(a) Peringkat pramendengar
• Guru memberi tugasan atau soalan kepada
murid terlebih dahulu sebelum
mereka mula mendengar.
• Guru memberi gambaran menyeluruh
tentang apa yang hendak diperdengarkan.
• Guru memberi arahan yang jelas tentang
tugasan dan memastikan bahan
rangsangan dalam keadaan baik serta
mencukupi.
• Guru memastikan murid dalam keadaan
sedia untuk mengikuti aktiviti.
(b) Peringkat semasa mendengar
• Guru memastikan murid dapat menumpukan
sepenuh perhatian terhadap bahan
rangsangan.
• Guru hendaklah mengatasi sebarang
gangguan yang mungkin timbul semasa
aktiviti mendengar dijalankan.
(c) Aktiviti sesudah mendengar
• Guru menghuraikan tentang perkara yang
ditimbulkan oleh murid dalam bahan
rakaman yang mungkin menyulitkan
pemahaman mereka.
• Guru memberi penekanan kepada aspek-aspek
penting dalam bahan itu.
• Guru memastikan murid menyempurnakan
tugasan dan membuat pengukuhan.
• Guru menjalankan aktiviti tindakan
susulan.
Pengajaran kemahiran mendengar hendaklah
digabungjalinkan dengan satu atau lebih kemahiran bahasa yang lain dalam satu
waktu pengajaran bahasa. Misalnya, kemahiran mendengar digabungjalinkan dengan
kemahiran bertutur.
Aktiviti mendengar hendaklah dijalankan
secara berterusan sebagaimana kemahiran-kemahiran bahasa yang lain dan guru
perlu meningkatkan tahap kesukaran bahan secara beransur-ansur sesuai dengan
kebolehan murid.
Daripada contoh aktiviti yang diberikan,
berbagai-bagai teknik boleh digunakan untuk menjadikan aktiviti mendengar ini
lebih menarik dan mencabar seperti teknik bercerita, soal-jawab, perbincangan,
lakonan, latih tubi dan nyanyian.
Penilaian Dalam Kemahiran Mendengar
Bagi sesuatu tugasan aktiviti mendengar,
murid perlu mendapat maklum balas dengan segera agar ia dapat membetulkan
kesilapan dan mengukuhkan kemahiran yang sedang dikuasainya. Oleh itu,
penilaian perlu dijalankan sama ada secara formatif atau sumatif. Perlu diingat
bahawa lazimnya guru dapat menilai kemahiran mendengar seseorang murid melalui
tindak balas yang ditunjukkannya dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan.
Berikut diberikan beberapa contoh
penilaian tentang beberapa aspek kemahiran mendengar:
(a) Sebutan, tekanan, jeda, intonasi:
Murid mengenal pasti di manakah letaknya
tekanan atau jeda dalam sesuatu ayat supaya lebih memahami maknanya. Di samping
itu, murid juga haruslah dapat menyebut perkataan yang didengar dengan sebutan
dan intonasi yang baik.
(b) Mendiskriminasikan bunyi dan
perkataan:
Murid mengenal pasti sesuatu yang
didengar supaya dapat membuat perbezaan bunyi huruf dan perkataan. Contoh:
dedak - ledak
bagi - baki
keras - kerat, dll
(c) Kefahaman terhadap teks yang
didengar:
Murid boleh diperdengarkan pelbagai
bentuk teks seperti cerita, ucapan, pengumuman, dialog, berita dan iklan. Guru
boleh menguji kefahaman yang terdiri daripada pelbagai aras kognitif.
Contoh soalan mengikut aras kognitif:
i. Siapakah yang melawat Pusat Pertanian
Daerah? (pengetahuan)
ii. Tuliskan tiga perkara yang
diterangkan oleh pegawai pertanian kepada pelawat-
pelawat tersebut. (kefahaman)
iii. Pada pendapat kamu, mengapakah beberapa
orang pegawai pertanian
dihantar berkursus di luar negeri?
(sintesis)
(d) Daya memahami dan memproses maklumat:
Segala maklumat yang didengar perlu
difahami dan dapat disampaikan dengan betul kepada orang lain. Murid yang cekap
dapat menyampaikan maklumat itu tanpa mengubah maksud asal. Contoh:
Aktiviti ini dijalankan dalam bentuk
kumpulan. Guru menyampaikan suatu berita kepada seorang murid dalam setiap
kumpulan. Murid berkenaan diminta menyampaikan berita itu kepada kawan di
sebelahnya. Aktiviti ini diteruskan sehingga berita itu sampai kepada murid
terakhir dalam kelas tersebut. Murid yang terakhir diminta menerangkan berita
yang diterimanya kepada kelas.
Melalui aktiviti ini guru boleh menilai
sejauh manakah maklumat yang diterima itu disampaikan dengan betul dan tepat.
(e) Kemahiran menentukan isi-isi penting:
kemahiran ini boleh dinilai melalui
latihan mengambil pesanan daripada perbualan melalui telefon. Guru boleh
memperdengarkan perbualan melalui telefon antara seorang kakak dengan adiknya.
Daripada perbualan yang didengar, pelajar
diminta untuk mencatatkan beberapa isi penting.
KEMAHIRAN BERTUTUR
Bertutur merupakan cara utama manusia
berkomunikasi. Bertutur memerlukan dua proses:
i. Proses mental – pengetahuan bahasa
ii. Proses fizikal – menggunakan
organ-organ ujaran untuk mengeluarkan bunyi-
bunyi bahasa.
Terdapat pula dua unsur yang membantu
menjadikan komunikasi lebih berkesan, iaitu:
i. Unsur-unsur prosodi – intonasi, nada,
tekanan, kepanjangan, jeda.
ii. Unsur-unsur paralinguistik –
penggunaan isyarat dan pergerakan anggota
badan, mimik muda, dsb.
Objektif Kemahiran Bertutur
KBSR menekankan pengajaran bertutur bagi
membolehkan murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan
bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan seperti perbualan dengan
rakan-rakan, dengan guru, dengan ibu bapa serta aktiviti pembelajaran. Oleh itu
pembelajaran bertutur haruslah membolehkan murid dapat:
i. Menyebut dengan jelas
ii. Menyampaikan pendapat
iii. Melaporkan peristiwa, menghurai
dengan tepat
iv. Memberikan penerangan / alasan
v. Menunjukkan arah
vi. Membina soalan untuk mendapatkan
maklumat
vii. Bertemu ramah/ temu bual/ berdialog
viii. Bertukar-tukar fikiran / maklumat
ix. Menggunakan bahasa yang tepat dan
sesuai dengan pendengar
x. Bertutur dengan menggunakan bahasa
yang bertatasusila.
Peringkat-peringkat dalam kemahiran lisan
(mendengar dan bertutur)
i. Peringkat penerimaan mendengar dan
memahami
Iaitu latihan kefahaman mendengar yang
menitikberatkan intonasi, frasa dan ayat, aspek sebutan, kelancaran dan
kefasihan berbahasa. Pada peringkat ini murid diperdengarkan contoh-contoh
ujaran yang betul sama ada secara langsung daripada guru atau rakaman.
ii. Peringkat penghasilan semula
bertindak balas
Peringkat ini murid dilatih bertutur
dengan menumpukan aspek-aspek:
(a) Sebutan bunyi tunggal, seperti [m],
[l], [r], [s], dsb.
(b) Sebutan perkataan yang melibatkan
vokal dan diftong seperti ambor, pantai,
pulau, saat, baik, air, dsb.
(c) Nada yang sesuai seperti bertanya,
meminta kepastian, permintaan, dsb.
(d) Aspek tatabahasa seperti penggunaan
imbuhan, struktur ayat, dsb.
(e) Penggunaan laras mengikut situasi,
tujuan, pendengar, dsb.
(f) Aspek makna, ayat dan wacana yang
tepat dan sesuai.
Fungsi-fungsi pertuturan
i. Fungsi peribadi kemampuan murid
menyampaikan buah fikiran, perasaan atau
hajat
mereka dengan jelas dan tepat.
ii. Fungsi perhubungan mengisi keperluan
harian. Contoh:
- melahirkan rasa simpati terhadap orang
lain.
- Berkongsi kegembiraan seseorang
- Menunjukkan keprihatinan kepada
kebajikan orang lain
- Meminta diri
- Meminta maaf dan memberi kemaafan
- Memberi alasan tanpa menyinggung
perasaan orang lain
- Menyatakan penghargaan dan berterima
kasih
- Menyatakan persetujuan dengan pendapat
orang lain
- Menyatakan ketidaksetujuan
- Mencelah dengan cara yang sopan semasa
orang lain sedang bercakap
iii. Fungsi memberi arahan membolehkan
murid menggunakan ayat-ayat arahan /
permintaan ketika mengarah, memohon,
memberi cadangan, meyakinkan
orang lain, dsb.
iv. Fungsi menyoal bertujuan melatih
murid supaya dapat membina soalan dengan
jelas, tepat dan ringkas.
v. Fungsi merujuk berkaitan dengan
kemahiran bertutur tentang kejadian yang
telah, sedang dan akan berlaku. Dalam
pelaksanaannya, murid-murid lebih
banyak dilatih menggunakan aspek
linguistik dengan betul dan tepat seperti
penggunaan kata, struktur ayat dan
aspek morfologi.
vi. Fungsi imaginasi bertujuan melatih
murid dapat menggunakan bahasa secara
kreatif semasa bertutur. Contoh:
- mencipta dan melafazkan puisi dengan
anda dan intonasi yang betul
- menggunakan bahasa berirama
- bertutur secara spontan dalam lakonan
dan drama
- bercerita secara kreatif
vii. Fungsi menyampaikan maklumat melatih
murid menyampaikan maklumat
secara lisan dengan jelas dan betul
berdasarkan pengalaman, pendengaran
dan pembacaan untuk dikongsi dengan
orang lain.
Contoh-contoh aktiviti bertutur dalam
KBSR
• Mengaitkan aksi dengan pertuturan
• Menjawab soalan-soalan rakan atau guru
• Membina soalan berdasarkan bahan
• Memberi arahan kepada rakan-rakan
• Menerangkan gambar atau bahan grafik
• Berbual melalui telefon
• Bercerita berdasarkan cerita yang telah
diketahui atau menceritakan
pengalaman sendiri
• Membuat laporan berdasrkan tajuk yang
telah disediakan dan menjawab soalan
yang diajukan
• Membina sudut pembelajaran seperti
kedai, perpustakaan, pejabat pos, bank,
dan kemudahan awam yang lain dan
berbual mengenainya secara spontan.
• Permainan komunikatif
• Mengadakan perbahasan, perbincangan,
forum dan aktiviti-aktiviti lain yang
memerlukan murid mendengar dan
kemudian melahirkan pendapat,
persetujuan, keraguan atau menambah
maklumat.
• Merakamkan perbahasan atau berita untuk
perbincangan lanjut
• Main peranan
• Drama. Dll.
Perancangan aktiviti kemahiran bertutur
Perancangan merangkumi 3 peringkat:
i. Peringkat persediaan
ii. Peringkat pelaksanaan
iii. Peringkat susulan dan penilaian
i. Peringkat persediaan
(a) Guru menerangkan tugasan yang akan
dilakukan oleh murid atau membuat
tunjuk cara serta memberikan
contoh.
(b) Guru mengedarkan bahan-bahan yang
diperlukan untuk membuat aktiviti.
Contoh: kad kiu, bahan stensilan
dan peralatan-peralatan lain yang mungkin
perlu.
(c) Guru memastikan semua alat dan bahan
mencukupi dan murid memahami
tugasan.
ii. Peringkat pelaksanaan aktiviti
(a) Murid menjalankan tugasan seperti
yang diarahkan
(b) Guru menyelia dan membimbing kelas,
kumpulan atau pasangan yang
mengambil bahagian.
iii. Peringkat susulan dan penilaian
Aktiviti susulan dan penilaian perlu
untuk mendapatkan maklum balas tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan
oleh murid. Contoh: mengadakan perbincangan dan kemudian guru memberikan maklum
balas tentang prestasi dan pencapaian murid. Sebagai pengukuhan, guru
digalakkan memberi kerja rumah uang berkaitan untuk aktiviti susulan.
Dalam pengajaran/pembelajaran, elok
dibentuk kumpulan-kumpulan kecil supaya sebahagian besar daripada murid dapat
mengambil bahagian yang aktif dalam masa yang terhad. Pengajaran kemahiran
bertutur harus digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain
untuk melahirkan satu kesepaduan yang bermakna. Penggabungjalinan juga penting
bagi mengukuhkan pembelajaran murid.
Penggunaan alat / bahan dalam kemahiran
bertutur
Pemilihan alat / bahan adalah berdasarkan
kesesuaianya dengan objektif pelajaran dan keberkesanan penggunaan. Alat /
bahan bantuan mengajar dalam kemahiran bertutur termasuklah:
(a) Guru, murid dan bilik darjah: gerak
laku guru dan murid boleh dimanfaatkan
sebaik-baiknya untuk membantu
proses pengajaran dan pembelajaran,
misalnya:
i. Guru manaik dan menurunkan tangan bagi
menunjukkan perbezaan intonasi
dalam pengucapan.
ii. Guru menunjukkan cara-cara
membunyikan sesuatu sebutan.
iii. Guru menggunakan papan tulis untuk
mencatat frasa yang perlu digunakan
oleh murid apabila bertutur.
(b) Objek sebenar: objek yang biasa
digunakan sehari-hari boleh dijadikan alat /
bahan pengajaran dan pembelajaran
yang berkesan untuk membolehkan
murid:
i. Mengaitkan konsep dengan bunyi,
misalnya bunyi berbagai-bagai kenderaan,
mergastua, pergerakan air, dsb dengan
menggunakan pita rakaman.
ii. Mengaitkan situasi dengan pertuturan
sebenar yang sedang berlaku. Contoh:
pertuturan sekumpulan orang di stesen
bas berbeza dengan pertuturan di
pasar. Contoh ini juga boleh
diperdengarkan melalui pita rakaman atau
tayangan filem/video.
iii. Bahan-bahan sebenar seperti tiket
bas, menu, butang baju pelbagai warna dan
saiz, buku, majalah, kalendar dan
borang adalah bahan-bahan yang diboleh
digunakan secara kreatif sebagai
bahan untuk bertutur.
(c) Gambar: elok difailkan gambar-gambar
yang boleh digunakan dalam
pengajaran dan pembelajaran
bertutur. Gambar-gambar tunggal atau bersiri
sesuai digunakan sebagai bahan
rangsangan untuk aktiviti bercerita, berlakon,
berpuisi, berdialog, dsb.
(d) Grafik: pelbagai grafik sesuai
digunakan sebagai bahan rangsangan untuk
bertutur seperti:
i. Carta pai – palang; lingkaran; carta
organisasi, dsb
ii. Jadual – jadual waktu; perjalanan;
jadual tugas; dsb.
iii. Pelan / peta – arah perjalanan;
kedudukan sesuatu tempat, dsb/
(e) Kad:
i. kad perkataan
ii. kad arahan / kad peranan.
(f) Bahan nyanyian, puisi dan permainan:
i. Mencipta senikata lagu berdasarkan
irama popular
ii. Meneka siapa saya
iii. Kotak beracun
iv. Teka-teki, dsb.
(g) Alat / bahan yang dibeli:
i. Makmal bahasa untuk latihan sebutan,
intonasi, tekanan, nada, jeda, dsb.
ii. Filem, slaid, video, tv, radio,
perakam kaset, dsb.
iii. Komputer.