Friday 31 January 2014

INTERAKSI 4 : Pemilihan Bahan Internet Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KEMAHIRAN BERBAHASA - MENDENGAR DAN BERTUTUR 2)


BAHAN KEMAHIRAN BERBAHASA (MENDENGAR DAN BERTUTUR 2)

MENULIS RANCANGAN MENGAJAR KEMAHIRAN LISAN : MENDENGAR DAN BERTUTUR


•Kemahiran lisan merupakan asas kepada penguasaan kemahiran berbahasa yang lain iaitu membaca dan menulis.

•Maknanya, guru perlu menentukan matlamat / objektif pengajarannya secara tepat meliputi aspek pengetahuan (menyenaraikan, menyatakan, menghuraikan, mengenali) kemahiran intelek (menjelaskan, menggunakan dan menyelesaikan), psikomotor (menyampaikan dan melaksanakan) dan afektif (memilih).


 PERANCANGAN AKTIVITI LISAN MELIBATKAN TIGA PERINGKAT BERIKU


Peringkat persediaan (sebelum melaksanakan proses P & P)


Pada peringkat ini, guru sekurang-kurangnya perlu melakukan tiga perkara asas, iaitu:

a. Guru menerangkan tugasan atau dengan memberi contoh-contoh yang sesuai
    membuat tunjuk cara   mengenai apa yang akan dilakukan oleh murid dalam
    proses pengajarannya


      Contoh aktiviti : guru dan beberapa orang murid menunjukkan simulasi cara
      melintas jalan.


b. Guru menyedia dan mengedarkan bahan-bahan (kad imbasan, bahan 
    stensilan, gambar, alat tulis dan seumpamanya) yang akan digunakan dalam
    proses P & P.


      Contoh aktiviti  : Guru menunjukkan beberapa keping gambar kesalahan
      melintas jalan raya.


c. Guru perlu memastikan semua alat dan bahan yang disediakan itu  berada
    dalam keadaan baik,  mencukupi, boleh digunakan dan murid  tahu
    menggunakannya, semasa mereka membuat atau melaksanakan tugasan
    sebagaimana diarahkan.


Peringkat pelaksanaan aktiviti (semasa melaksanakan proses P & P)


Terdapat sekurang-kurangnya dua perkara penting, iaitu :

a. Murid-murid melaksanakan tugasan sebagaimana diarahkan


b. Guru menyelia dan memberi bimbingan secara kelas, kumpulan atau berpasangan, bahkan secara individu sekiranya perlu.


Peringkat susulan dan penilaian


Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, peringkat membuat tindakan susulan dan penilaian dianggap paling penting kerana pada peringkat ini guru boleh menentukan sama ada :


a. Objektif pengajarannya tercapai atau tidak

b. Murid-murid boleh atau tidak melaksanakan tugasan yang diberikan dalam
    tempoh masa yang ditetapkan

c. Apakah kekuatan atau kekurangan yang terdapat dalam proses pengajaran dan
   pembelajaran berkenaan.


TINDAKAN SUSULAN


-       Aktiviti pemulihan (untuk murid-murid yang lemah)


-        Aktiviti pengayaan (untuk murid-murid yang berpotensi cemerlang).

OBJEKTIF, LANGKAH-LANGKAH SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS AKTIVITI


a. Mendengar dan memahami pertuturan yang terdapat dalam kehidupan sehari-
    hari sama ada di dalam atau di luar sekolah;

b. Bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang
    sesuai dalam pelbagai keadaan perhubungan seperti perbualan dengan rakan-
    rakan, guru, ibu bapa dan sebagainya serta dalam majlis bahas, syarahan dan
    lain-lain (Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, 1983 :3)


      Berdasarkan KSSR, objektif standard pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid-murid tahun 1 mulai tahun 2011 (Bahagian Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia, 2010) adalah seperti berikut:

       Mendengar, mengecam, mengajuk dan menentukan arah bunyi dalam persekitaran dengan teliti dan betul;

       Mendengar, mengecam dan menyebut bunyi bahasa dengan betul;

       Mendengar, memahami, menyebut dan mengeja perkataan yang mengandungi dua atau tiga suku kata, diftong, vokal berganding,diagraf dan konsonan bergabung dengan betul dan tepat;

       Mendengar, memahami dan menyebut frasa dan ayat tunggal dengan betul dan tepat;

       Mendengar, memahami dan memberikan respon secara lisan atau gerak laku berdasarkan arahan, pesanan, dan pertanyaan dengan betul;

       Bertutur dan berbual serta menyatakan permintaan menggunakan ayat yang  mengandungi kata panggilan, kata ganti nama diri pertama dan kedua dengan betul dalam situasi tidak formal secara bertatasusila;

       Bercerita tentang sesuatu perkara dan menceritakan semula perkara yang di dengar menggunakan ayat tunggal dengan tepat, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul; dan

       Berbicara untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara dengan tepat menggunakan perkataan yang sesuai secara bertatasusila.




LANGKAH-LANGKAH SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS AKTIVITI MENDENGAR


Ketika melaksanakan aktiviti mendengar, guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan kelicinan dan keberkesanannya ( Zuariah Yusoff, Zainon Zainalabidin, Fatimah Abd. Rahman, 1992:21-22)


Perancangan boleh dijalankan berdasarkan tiga peringkat, iaitu:


-       Peringkat pramendengar (sebelum)


-       Peringkat semasa mendengar (semasa)


-       Peringkat selepas mendengar (selepas)


Peringkat Pramendengar


1. Guru memberi tugasan atau soalan kepada murid  terlebih dahulu sebelum
    mereka mula mendengar.


2. Seterusnya, guru memberi gambaran  yang menyeluruh tentang apa yang
    hendak  diperdengarkan.


3. Guru turut memberi arahan yang jelas tentang tugasan  dan memastikan bahan
    rangsangan dalam keadaan baik serta mencukupi.


4. Akhirnya, guru memastikan  murid dalam keadaan sedia untuk mengikut
    aktiviti.


Peringkat Semasa Mendengar

1. Guru memastikan murid dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap
    bahan rangsangan.


2. Guru juga perlu mengatasi sebarang  gangguan yang mungkin timbul ketika
    aktiviti mendengar dijalankan.


Peringkat  Selepas Mendengar


1. Guru menghuraikan kembali tentang apa yang tidak difahami oleh murid dalam
    bahan rakaman.


2. Guru turut memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bahan itu.


3. Guru juga memastikan murid menyempurnakan tugasan dan melakukan
    pengukuhan.


4. Setelah itu, guru menjalankan aktiviti tindakan susulan.


5. Pengajaran kemahiran mendengar digabungjalin dengan satu atau lebih 
    kemahiran bahasa yang lain. (mendengar + bertutur)


6. Teknik bercerita, soal jawab, perbincangan, lakonan, latih tubi dan nyanyian
    tarik minat


LANGKAH-LANGKAH SEBELUM, SEMASA DAN SELEPAS AKTIVITI BERTUTUR


Aktiviti bertutur dilaksanakan dalam tiga peringkat yang berbeza ( Radiah Nordin dan Maimunah Samat, 1992 : 48-49, iaitu :

-       Peringkat persediaan ( sebelum)

-       Peringkat pelaksanaan aktiviti ( semasa)

-       Peringkat susulan dan penilaian ( selepas)


Pada peringkat persediaan, terdapat tiga  perkara yang boleh dilakukan oleh guru, iaitu:

i.         Guru menerangkan tugasan yang akan dilakukan oleh murid atau 
           melakukan tunjuk cara serta memberi contoh.


ii.       Guru mengedarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk menjalankan
          aktiviti (kad kiu, kertas edaran  dan lain-lain)


iii.       Guru memastikan semua alat dan bahan mencukupi dan murid
           memahami tugasan.


Pada peringkat pelaksanaan aktiviti, terdapat dua perkara yang dilaksanakan iaitu:


i.              Murid menjalankan tugasan seperti yang diarahkan.


ii.            Guru menyelia dan membimbing kelas, kumpulan atau pasangan  yang
               menjalankan aktiviti.


Peringkat-peringkat susulan dan penilaian

i.        Penilaian dijalankan secara berterusan (perbincangan- memberi maklum balas tentang prestasi dan pencapaian murid.)

ii.      Sebagai pengukuhan, guru memberi kerja rumah yang berkaitan dengan aktiviti bertutur yang dijalankan.

Thursday 30 January 2014

INTERAKSI 4 : Pemilihan Bahan Internet Untuk Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KEMAHIRAN BERBAHASA - MENDENGAR DAN BERTUTUR)


BAHAN KEMAHIRAN BERBAHASA (MENDENGAR DAN BERTUTUR)

KEMAHIRAN MENDENGAR DAN BERTUTUR


1. Kemahiran Mendengar: satu proses yang melibatkan dua kemahiran:

a. menerima dan membezakan bunyi-bunyi bahasa yang hampir sama, cth:

b – p (badang – padang)

d – t (datang – tatang)

l – r (lali – lari)

k – g (kalah – galah)


b. memahami bunyi bahasa yang bermakna seperti perkataan, frasa, klausa dan  
    ayat. Untuk memahami bunyi bahasa, murid perlu mempunyai unsur-unsur
    kefahaman berikut:


i. Pengetahuan yang sedia ada pada pendengar seperti fakta dan budaya bahasa
   yang didengar dan bagaimana bahasa digunakan.

ii. Pengetahuan tentang situasi berlakunya pertuturan yang didengar.

iii. Pengetahuan tentang sistem bahasa.


Proses mendengar adalah satu aktiviti yang aktif. Pendengar mesti mengenal pasti dan mengetahui makna bunyi bahasa. Pendengar juga memilih dan menyimpan apa yang difahami dalam ingatannya. Ini menunjukkan mendengar adalah satu proses yang aktif kerana berlaku tindak balas selepas mendengar.


Mendengar melibatkan dua proses utama, iaitu:


i. Membuat jangkaan: -

Apabila kita mendengar sesuatu, kita akan membuat jangkaan dalam fikiran terhadap apa yang kita dengar seterusnya.

Contoh : apabila kita mendengar berita kebakaran, kita akan membuat jangkaan tentang kemungkinan peristiwa yang akan berlaku berkaitan dengan kebakaran. Apabila jangkaan seperti ini dibuat, kita dapat mendengar dengan lebih berkesan lagi.


ii. Menentukan tujuan:

Murid perlu menentukan tujuan ia mendengar, sama ada untuk hiburan, pengetahuan atau maklumat. Mendengar tanpa tujuan adalah tidak berguna.


Faktor-faktor yang mempengaruhi kemahiran mendengar


(a) Fizikal – murid yang normal dapat mendengar dengan sempurna, tetapi
                   peringkat kemahiran ini berbeza antara setiap individu; ada yang
                   tajam pendengarannya dan ada pula yang sebaliknya walaupun
                   mereka tidak tergolong dalam cacat pendengaran.

(b) Jantina – terdapat perbezaan kemahiran mendengar antara kanak-kanak lelaki
                    dengan kanak-kanak perempuan, misalnya kanak-kanak lelaki yang
                    berumur antara 7-9 tahun lebih lemah kemahiran mendengar mereka
                    berbanding dengan kanak-kanak perempuan yang sebaya
                    dengannya.

(c) Status sosioekonomi – latar belakang keluarga, kemudahan di rumah, interaksi
                                         antara ahli keluarga mempengaruhi kebolehan
                                         mendengar dan emosi kanak-kanak. Kanak-kanak yang
                                         terganggu emosinya tidak akan dapat memberi
                                         tumpuan sepenuhnya terhadap apa yang didengar.

(d) Gangguan bunyi – bunyi bising boleh mempengaruhi kebolehan mendengar.

(e) Mental – kemahiran mendengar berkait rapat dengan daya pemikiran kerana
                    sesuatu yang didengar melalui deria telinga akan melalui proses
                    mental untuk mendapat tindak balas. Tahap pemikiran kanak-kanak
                    akan mempengaruhi kecekapan mendengar mereka.



Kemahiran mendengar dalam KBSR


Program Bahasa Melayu KBSR memberi penekanan kepada kemahiran asas berbahasa, iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Setiap kemahiran ini diajar secara gabung jalin. Penggunaan satu-satu kemahiran ini akan mempengaruhi penguasaan kemahiran yang lain.


Dalam mempelajari bahasa akan wujud perbualan; dan perbualan memerlukan kesepaduan antara kemahiran mendengar dengan kemahiran bertutur. Begitu juga, kemahiran mendengar boleh membantu murid menguasai kemahiran menulis. Kemahiran mendengar yang kurang baik menyebabkan seseorang murid itu tidak dapat membezakan bunyi-bunyi bahasa yang didengarnya. Oleh itu, ia mungkin menulis menurut apa yang didengarnya, yang berbeza daripada ujaran sebenar. Kemahiran mendengar menjadi asas kepada kemahiran membaca. Dengan itu pengukuhan kemahiran mendengar juga membantu murid menguasai kemahiran membaca dengan baik.



Masalah dalam menguasai kemahiran mendengar


(a) Kekeliruan dalam membezakan bunyi

(b) Kelemahan dalam memahami apa yang didengar

(c) Tidak cekap dalam memproses maklumat

(d) Kelajuan dalam pertuturan

(e) Gaya pertuturan – tekanan, intonasi, nada, jeda, kepanjangan dan dialek.



Pemilihan bahan dalam kemahiran mendengar


(a) Alat elektronik – radio, televisyen, video, karaoke, pita rakaman boleh
                                membantu kerana bahagian-bahagian tertentu boleh diulang
                                tanpa perubahan suara, intonasi dan sebagainya.

(b) Bahan rangsangan – bahan yang digunakan untuk pengajaran dan
                                       pembelajaran mendengar, contohnya:


Bahan bentuk prosa:

Cerita, kuiz

Pesanan, temu ramah

Peraturan, syarahan

Iklan, laporan

Pengumuman, perbahasan

Perbualan/dialog, taklimat

Berita, wawancara

Ucapan, mesyuarat

Perbincangan, kempen

Surat, drama


Bahan bentuk puisi:

Pantun, syair

Sajak, nyanyian

Bahasa berirama


Bahan bentuk grafik

Pelan, rajah

Jadual, peta

Borang, graf

Gambar foto, carta

Gambar rajah


Bahan-bahan ini boleh dicetak dan dirakamkan dalam bentuk audio dan video. Semasa menyediakannya guru perlu memastikan bahan-bahan ini tidak terlalu panjang dan hendaklah disesuaikan dengan kebolehan murid.



Aktiviti mendengar


Ada 2 peringkat:

i. mendengar untuk mengenal pasti pelbagai bunyi bahasa. Contoh:

a. mendengar dan menyebut perkataan secara latih tubi:

ladang - padang

pantai - pandai

lali - lari

galah - kalah


b. latih tubi pemintal lidah:

Pandang pandan depan padang.

Letak tulang atas dulang

Berat beras dua belas kilo

Dari darah dari nanah yang punah di tanah


c. memadankan perkataan dengan gambar:

Tuliskan huruf A, B atau C dalam ruang di bawah gambar yang sesuai.

A = buku

B = kuku

C = duku



ii. Mendengar untuk memahami dan bertindak balas.


Pada peringkat ini, latihan diberi untuk menguji pemahaman murid terhadap apa yang diperdengarkan dan seterusnya bertindak balas. Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dijalankan, antaranya ialah:

(a) Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas ringkas.

(b) Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas lebih lama.

(c) Aktiviti mendengar sebagai asas untuk belajar dan berbincang.


1. Contoh latihan mendengar yang memerlukan tindak balas ringkas:

a. Melakukan pergerakan mengikut arahan:

”Duduk”

”Tututp pintu”

”Berdiri tegak, rapatkan kaki.”

”Angkat tangan kanan ke atas dan kaki kiri ke hadapan”

”Pusing kiri”

”Pusing kanan”


b. Menandakan butiran yang berkaitan.

Latihan ini biasanya menggunakan petikan yang ringkas yang diperdengarkan kepada murid dan mereka diminta menandakan butiran yang berkaitan. Petikan ringkas ini dibaca atau diperdengarkan melalui pita rakaman. Contoh:


Seorang perempuan membawa tiga orang anaknya ke sebuah restoran dan memesan makanan daripada pelayan restoran tersebut.

”Berikan saya secawan teh, dua pinggan nasi lemak dan sepinggan bihun goreng.”


Murid diberi kertas edaran yang mengandung senarai menu makanan dan minuman. Sambil mendengar petikan dibaca, murid diminta menandakan butiran-butiran berkenaan.


Makanan; Minuman


Pulut panggang; Kopi

Mi rebus; Teh

Bihun goreng; Nescafe

Kek; Milo

Karipap; Air sejuk

Nasi lemak; Sirap


c. Menandakan betul atau salah.


Murid diberi kertas edaran yang mengandung bahan grafik seperti gambar, gambar rajah, graf atau jadual yang diikuti dengan senarai pernyataan. Semasa guru membacakan pernyataan-pernyataan tersebut, murid mendengar sambil menandakan ( / ) bagi pernyataan yang betul dan ( x ) bagi pernyataan yang salah berdasarkan bahan grafik yang diberi.


d. Menyusun gambar.


Murid diberi gambar yang tidak mengikut susunannya. Sambil mendengar bahan rangsangan seperti cerita atau puisi yang berkaitan daripada guru, mereka menyusun gambar-gambar itu mengikut urutan yang betul.


e. Mendengar dan memilih gambar.


Satu set gambar yang seakan-akan serupa diberi kepada murid. Mereka mendengar penerangan daripada guru atau pita rakaman dan memilih gambar yang tepat mengikut penerangan yang didengar.


f. Melukis bahan berbentuk gragik.


Dalam aktiviti ini murid mendengar penerangan yang diberi oleh guru. Sambil mendengar, murid merakamkan maklumat-maklumat itu dalam bentuk grafik seperti gambar, gambar rajah, carta, graf atau jadual. Contoh:


Guru bercerita:

”Encik Hamid berkahwin dengan Puan Halimah dan mendapat sepasang cahaya mata. Yang sulung bernama Faisal dan adiknya bernama Aini. Faisal berkahwin denganZaharah dan mendapat tiga orang cahaya mata iaitu Sasha, Izwan dan Azmi. Faisal kemudiannya mendapat pula dua orang anak saudara hasil perkahwinan Aini dengan Haris. Nama-nama mereka ialah Hafiz dan Khairul.”


Sambil mendengar cerita di atas, murid dikehendaki melukis carta jurai keturunan.


g. Menandakan lokasi dan arah perjalanan.


Aktiviti ini memerlukan murid mendengar dengan teliti cerita, penerangan atau arahan yang diberi. Murid menandakan lokasi dan arah perjalanan di atas peta mengiktu pernyataan yang didengar.


Contoh:

Setiap murid diberi sebuah peta kawasan perumahan. Guru menerangkan arah perjalanan seseorang ke tempat-tempat tertentu seperti sekolah, kedi buku, kedai runcit dan rumah kawan. Sambil mendengar penerangan guru, murid dikehendaki menandakan lokasi arah dan perjalanan di atas peta berkenaan.


h. Mengisi jadual.


Dalam aktiviti ini murid diberi jadual yang tidak lengkap untuk dimuatkan dengan data. Sambil mendengar bahan rangsangan seperti cerita, dialog atau penerangan, murid mengisi jadual tersebut dengan data yang diperlukan.


i. Teka siapa saya.


Aktiviti ini merupakan sejenis permainan yang membolehkan murid mendengar dengan teliti dan memberi jawapan dengan tepat. Guru menerangkan tentang sesuatu dan murid cuba meneka apa yang diterangkan oleh guru. Penerangan tentang sesuatu benda yang akan diteka itu diteruskan sehingga murid dapat meneka dengan betul. Biasanya bahan rangsangan yang digunakan berbentuk teka-teki.


Contoh:

”Rupa saya bulat. Saya boleh melompat dan berguling-guling. Manusia sanggup bersusah payah untuk menonton saya. Cuba teka siapakah saya?”



2. Aktiviti mendengar yang memerlukan tindak balas yang lama.


Aktiviti jenis ini memerlukan murid menjawab soalan kefahaman, membuat ulasan, meringkaskan dan mencatat isi-isi penting daripada bahan yang didengar.

Contoh aktiviti:


i. Menjawab soalan kefahaman.


Berdasarkan bahan rangsangan yang diperdengarkan, murid diminta menjawab soalan-soalan kefahaman sama ada berbentuk objektif, aneka pilihan dan jenis terbuka. Contoh: murid diperdengarkan dengan ucapan guru besar pada ”Hari Guru”. Kemudian mereka diminta menjawab soalan-soalan berdasarkan ucapan tersebut.






ii. Mencatat isi, mengulas dan membuat ringkasan.


Murid mendengar bahan rangsangan seperti ucapan, lakonan, syair dan sajak. Sambil mendengar, mereka dikehendaki mencatat isi, mengulas atau membuat ringkasan daripada bahan yang didengar.



3. Aktiviti mendengar sebagai asas untuk belajar dan berbincang.


Aktiviti mendengar jenis ini merupakan langkah awal bagi satu pengajaran dan pembelajaran bahasa. Masa yang diperuntukkan adalah singkat. Walau bagaimanapun, langkah ini menjadi asas bagi aktiviti seterusnya. Murid mendengar dan memahami bahan rangsangan dan seterusnya menjalankan aktiviti seperti menterjemah dan menilai. Aktiviti-aktiviti ini memerlukan murid berbincang secara kumpulan dan hasilnya dilaporkan secara lisan atau bertulis, atau kedua-duanya sekali.


Contoh aktiviti:


i. Mengkategorikan fakta.


Dalam aktiviti ini murid diperdengarkan dengan bahan rangsangan seperti rencana, komentar, dokumentari dan perbahasan. Berdasarkan rangsangan ini, murid diminta mengkategorikan maklumat, kenyataan, pendapat dan ulasan.


ii. Menilai perwatakan.


Bahan rangsangan yang diperlukan bagi aktiviti ini seharusnya membolehkan murid menilai perwatakan seseorang. Contohnya, rakaman, perbualan, dialog, lakonan, perbincangan dan forum. Setelah mendengar bahan rangsangan ini, murid diminta menilai sikap dan pendirian penutur.


iii. Mendengar untuk mencantum maklumat.


Dalam aktiviti ini murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan mendengar petikan yang berbeza tetapi berkaitan. Mereka kemudian bertukar-tukar maklumat dan mencantumkan maklumat ini untuk membolehkan murid melaksanakan tugasan.



Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran kemahiran mendengar


Dalam melaksanakan aktivit mendengar, guru perlu merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan kelicinan dan keberkesanan pengajaran. Perancangan ini boleh dibuat mengikut peringkat berikut:


(a) Peringkat pramendengar

(b) Peringkat semasa mendengar

(c) Peringkat selepas mendengar


(a) Peringkat pramendengar

• Guru memberi tugasan atau soalan kepada murid terlebih dahulu sebelum
   mereka mula mendengar.

• Guru memberi gambaran menyeluruh tentang apa yang hendak diperdengarkan.

• Guru memberi arahan yang jelas tentang tugasan dan memastikan bahan
   rangsangan dalam keadaan baik serta mencukupi.

• Guru memastikan murid dalam keadaan sedia untuk mengikuti aktiviti.


(b) Peringkat semasa mendengar


• Guru memastikan murid dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap bahan
   rangsangan.

• Guru hendaklah mengatasi sebarang gangguan yang mungkin timbul semasa
   aktiviti mendengar dijalankan.


(c) Aktiviti sesudah mendengar


• Guru menghuraikan tentang perkara yang ditimbulkan oleh murid dalam bahan
   rakaman yang mungkin menyulitkan pemahaman mereka.

• Guru memberi penekanan kepada aspek-aspek penting dalam bahan itu.

• Guru memastikan murid menyempurnakan tugasan dan membuat pengukuhan.

• Guru menjalankan aktiviti tindakan susulan.


Pengajaran kemahiran mendengar hendaklah digabungjalinkan dengan satu atau lebih kemahiran bahasa yang lain dalam satu waktu pengajaran bahasa. Misalnya, kemahiran mendengar digabungjalinkan dengan kemahiran bertutur.


Aktiviti mendengar hendaklah dijalankan secara berterusan sebagaimana kemahiran-kemahiran bahasa yang lain dan guru perlu meningkatkan tahap kesukaran bahan secara beransur-ansur sesuai dengan kebolehan murid.


Daripada contoh aktiviti yang diberikan, berbagai-bagai teknik boleh digunakan untuk menjadikan aktiviti mendengar ini lebih menarik dan mencabar seperti teknik bercerita, soal-jawab, perbincangan, lakonan, latih tubi dan nyanyian.



Penilaian Dalam Kemahiran Mendengar


Bagi sesuatu tugasan aktiviti mendengar, murid perlu mendapat maklum balas dengan segera agar ia dapat membetulkan kesilapan dan mengukuhkan kemahiran yang sedang dikuasainya. Oleh itu, penilaian perlu dijalankan sama ada secara formatif atau sumatif. Perlu diingat bahawa lazimnya guru dapat menilai kemahiran mendengar seseorang murid melalui tindak balas yang ditunjukkannya dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan.


Berikut diberikan beberapa contoh penilaian tentang beberapa aspek kemahiran mendengar:


(a) Sebutan, tekanan, jeda, intonasi:

Murid mengenal pasti di manakah letaknya tekanan atau jeda dalam sesuatu ayat supaya lebih memahami maknanya. Di samping itu, murid juga haruslah dapat menyebut perkataan yang didengar dengan sebutan dan intonasi yang baik.


(b) Mendiskriminasikan bunyi dan perkataan:

Murid mengenal pasti sesuatu yang didengar supaya dapat membuat perbezaan bunyi huruf dan perkataan. Contoh:

dedak - ledak

bagi - baki

keras - kerat, dll



(c) Kefahaman terhadap teks yang didengar:

Murid boleh diperdengarkan pelbagai bentuk teks seperti cerita, ucapan, pengumuman, dialog, berita dan iklan. Guru boleh menguji kefahaman yang terdiri daripada pelbagai aras kognitif.


Contoh soalan mengikut aras kognitif:

i. Siapakah yang melawat Pusat Pertanian Daerah? (pengetahuan)

ii. Tuliskan tiga perkara yang diterangkan oleh pegawai pertanian kepada pelawat-
   pelawat tersebut. (kefahaman)

iii. Pada pendapat kamu, mengapakah beberapa orang pegawai pertanian
    dihantar berkursus di luar negeri? (sintesis)


(d) Daya memahami dan memproses maklumat:

Segala maklumat yang didengar perlu difahami dan dapat disampaikan dengan betul kepada orang lain. Murid yang cekap dapat menyampaikan maklumat itu tanpa mengubah maksud asal. Contoh:


Aktiviti ini dijalankan dalam bentuk kumpulan. Guru menyampaikan suatu berita kepada seorang murid dalam setiap kumpulan. Murid berkenaan diminta menyampaikan berita itu kepada kawan di sebelahnya. Aktiviti ini diteruskan sehingga berita itu sampai kepada murid terakhir dalam kelas tersebut. Murid yang terakhir diminta menerangkan berita yang diterimanya kepada kelas.


Melalui aktiviti ini guru boleh menilai sejauh manakah maklumat yang diterima itu disampaikan dengan betul dan tepat.


(e) Kemahiran menentukan isi-isi penting:

kemahiran ini boleh dinilai melalui latihan mengambil pesanan daripada perbualan melalui telefon. Guru boleh memperdengarkan perbualan melalui telefon antara seorang kakak dengan adiknya.


Daripada perbualan yang didengar, pelajar diminta untuk mencatatkan beberapa isi penting.





KEMAHIRAN BERTUTUR


Bertutur merupakan cara utama manusia berkomunikasi. Bertutur memerlukan dua proses:

i. Proses mental – pengetahuan bahasa

ii. Proses fizikal – menggunakan organ-organ ujaran untuk mengeluarkan bunyi-
    bunyi bahasa.


Terdapat pula dua unsur yang membantu menjadikan komunikasi lebih berkesan, iaitu:

i. Unsur-unsur prosodi – intonasi, nada, tekanan, kepanjangan, jeda.

ii. Unsur-unsur paralinguistik – penggunaan isyarat dan pergerakan anggota
    badan, mimik muda, dsb.



Objektif Kemahiran Bertutur


KBSR menekankan pengajaran bertutur bagi membolehkan murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, dengan guru, dengan ibu bapa serta aktiviti pembelajaran. Oleh itu pembelajaran bertutur haruslah membolehkan murid dapat:


i. Menyebut dengan jelas

ii. Menyampaikan pendapat

iii. Melaporkan peristiwa, menghurai dengan tepat

iv. Memberikan penerangan / alasan

v. Menunjukkan arah

vi. Membina soalan untuk mendapatkan maklumat

vii. Bertemu ramah/ temu bual/ berdialog

viii. Bertukar-tukar fikiran / maklumat

ix. Menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar

x. Bertutur dengan menggunakan bahasa yang bertatasusila.



Peringkat-peringkat dalam kemahiran lisan (mendengar dan bertutur)


i. Peringkat penerimaan mendengar dan memahami

Iaitu latihan kefahaman mendengar yang menitikberatkan intonasi, frasa dan ayat, aspek sebutan, kelancaran dan kefasihan berbahasa. Pada peringkat ini murid diperdengarkan contoh-contoh ujaran yang betul sama ada secara langsung daripada guru atau rakaman.


ii. Peringkat penghasilan semula bertindak balas

Peringkat ini murid dilatih bertutur dengan menumpukan aspek-aspek:

(a) Sebutan bunyi tunggal, seperti [m], [l], [r], [s], dsb.

(b) Sebutan perkataan yang melibatkan vokal dan diftong seperti ambor, pantai,
      pulau, saat, baik, air, dsb.

(c) Nada yang sesuai seperti bertanya, meminta kepastian, permintaan, dsb.

(d) Aspek tatabahasa seperti penggunaan imbuhan, struktur ayat, dsb.

(e) Penggunaan laras mengikut situasi, tujuan, pendengar, dsb.

(f) Aspek makna, ayat dan wacana yang tepat dan sesuai.



Fungsi-fungsi pertuturan


i. Fungsi peribadi kemampuan murid menyampaikan buah fikiran, perasaan atau
   hajat mereka dengan jelas dan tepat.

ii. Fungsi perhubungan mengisi keperluan harian. Contoh:

- melahirkan rasa simpati terhadap orang lain.

- Berkongsi kegembiraan seseorang

- Menunjukkan keprihatinan kepada kebajikan orang lain

- Meminta diri

- Meminta maaf dan memberi kemaafan

- Memberi alasan tanpa menyinggung perasaan orang lain

- Menyatakan penghargaan dan berterima kasih

- Menyatakan persetujuan dengan pendapat orang lain

- Menyatakan ketidaksetujuan

- Mencelah dengan cara yang sopan semasa orang lain sedang bercakap


iii. Fungsi memberi arahan membolehkan murid menggunakan ayat-ayat arahan /
     permintaan ketika mengarah, memohon, memberi cadangan, meyakinkan
     orang lain, dsb.


iv. Fungsi menyoal bertujuan melatih murid supaya dapat membina soalan dengan
     jelas, tepat dan ringkas.



v. Fungsi merujuk berkaitan dengan kemahiran bertutur tentang kejadian yang
    telah, sedang dan akan berlaku. Dalam pelaksanaannya, murid-murid lebih
    banyak dilatih menggunakan aspek linguistik dengan betul dan tepat seperti
    penggunaan kata, struktur ayat dan aspek morfologi.


vi. Fungsi imaginasi bertujuan melatih murid dapat menggunakan bahasa secara
     kreatif semasa bertutur. Contoh:

- mencipta dan melafazkan puisi dengan anda dan intonasi yang betul

- menggunakan bahasa berirama

- bertutur secara spontan dalam lakonan dan drama

- bercerita secara kreatif


vii. Fungsi menyampaikan maklumat melatih murid menyampaikan maklumat
      secara lisan dengan jelas dan betul berdasarkan pengalaman, pendengaran
      dan pembacaan untuk dikongsi dengan orang lain.



Contoh-contoh aktiviti bertutur dalam KBSR


• Mengaitkan aksi dengan pertuturan

• Menjawab soalan-soalan rakan atau guru

• Membina soalan berdasarkan bahan

• Memberi arahan kepada rakan-rakan

• Menerangkan gambar atau bahan grafik

• Berbual melalui telefon

• Bercerita berdasarkan cerita yang telah diketahui atau menceritakan
   pengalaman sendiri

• Membuat laporan berdasrkan tajuk yang telah disediakan dan menjawab soalan
   yang diajukan

• Membina sudut pembelajaran seperti kedai, perpustakaan, pejabat pos, bank,
   dan kemudahan awam yang lain dan berbual mengenainya secara spontan.

• Permainan komunikatif

• Mengadakan perbahasan, perbincangan, forum dan aktiviti-aktiviti lain yang
   memerlukan murid mendengar dan kemudian melahirkan pendapat,
   persetujuan, keraguan atau menambah maklumat.

• Merakamkan perbahasan atau berita untuk perbincangan lanjut

• Main peranan

• Drama. Dll.



Perancangan aktiviti kemahiran bertutur


Perancangan merangkumi 3 peringkat:

i. Peringkat persediaan

ii. Peringkat pelaksanaan

iii. Peringkat susulan dan penilaian



i. Peringkat persediaan


(a) Guru menerangkan tugasan yang akan dilakukan oleh murid atau membuat
      tunjuk cara serta memberikan contoh.

(b) Guru mengedarkan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat aktiviti.
      Contoh: kad kiu, bahan stensilan dan peralatan-peralatan lain yang mungkin
      perlu.

(c) Guru memastikan semua alat dan bahan mencukupi dan murid memahami
     tugasan.


ii. Peringkat pelaksanaan aktiviti


(a) Murid menjalankan tugasan seperti yang diarahkan

(b) Guru menyelia dan membimbing kelas, kumpulan atau pasangan yang
      mengambil bahagian.


iii. Peringkat susulan dan penilaian


Aktiviti susulan dan penilaian perlu untuk mendapatkan maklum balas tentang aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh murid. Contoh: mengadakan perbincangan dan kemudian guru memberikan maklum balas tentang prestasi dan pencapaian murid. Sebagai pengukuhan, guru digalakkan memberi kerja rumah uang berkaitan untuk aktiviti susulan.


Dalam pengajaran/pembelajaran, elok dibentuk kumpulan-kumpulan kecil supaya sebahagian besar daripada murid dapat mengambil bahagian yang aktif dalam masa yang terhad. Pengajaran kemahiran bertutur harus digabungjalinkan dengan kemahiran-kemahiran bahasa yang lain untuk melahirkan satu kesepaduan yang bermakna. Penggabungjalinan juga penting bagi mengukuhkan pembelajaran murid.



Penggunaan alat / bahan dalam kemahiran bertutur


Pemilihan alat / bahan adalah berdasarkan kesesuaianya dengan objektif pelajaran dan keberkesanan penggunaan. Alat / bahan bantuan mengajar dalam kemahiran bertutur termasuklah:


(a) Guru, murid dan bilik darjah: gerak laku guru dan murid boleh dimanfaatkan
      sebaik-baiknya untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran,
      misalnya:

i. Guru manaik dan menurunkan tangan bagi menunjukkan perbezaan intonasi
   dalam pengucapan.

ii. Guru menunjukkan cara-cara membunyikan sesuatu sebutan.

iii. Guru menggunakan papan tulis untuk mencatat frasa yang perlu digunakan
     oleh murid apabila bertutur.


(b) Objek sebenar: objek yang biasa digunakan sehari-hari boleh dijadikan alat /
      bahan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan untuk membolehkan
      murid:

i. Mengaitkan konsep dengan bunyi, misalnya bunyi berbagai-bagai kenderaan,
   mergastua, pergerakan air, dsb dengan menggunakan pita rakaman.

ii. Mengaitkan situasi dengan pertuturan sebenar yang sedang berlaku. Contoh:
    pertuturan sekumpulan orang di stesen bas berbeza dengan pertuturan di
    pasar. Contoh ini juga boleh diperdengarkan melalui pita rakaman atau
    tayangan filem/video.

iii. Bahan-bahan sebenar seperti tiket bas, menu, butang baju pelbagai warna dan
     saiz, buku, majalah, kalendar dan borang adalah bahan-bahan yang diboleh
     digunakan secara kreatif sebagai bahan untuk bertutur.


(c) Gambar: elok difailkan gambar-gambar yang boleh digunakan dalam
     pengajaran dan pembelajaran bertutur. Gambar-gambar tunggal atau bersiri
     sesuai digunakan sebagai bahan rangsangan untuk aktiviti bercerita, berlakon,
     berpuisi, berdialog, dsb.


(d) Grafik: pelbagai grafik sesuai digunakan sebagai bahan rangsangan untuk
      bertutur seperti:

i. Carta pai – palang; lingkaran; carta organisasi, dsb

ii. Jadual – jadual waktu; perjalanan; jadual tugas; dsb.

iii. Pelan / peta – arah perjalanan; kedudukan sesuatu tempat, dsb/


(e) Kad:

i. kad perkataan

ii. kad arahan / kad peranan.


(f) Bahan nyanyian, puisi dan permainan:

i. Mencipta senikata lagu berdasarkan irama popular

ii. Meneka siapa saya

iii. Kotak beracun

iv. Teka-teki, dsb.


(g) Alat / bahan yang dibeli:

i. Makmal bahasa untuk latihan sebutan, intonasi, tekanan, nada, jeda, dsb.

ii. Filem, slaid, video, tv, radio, perakam kaset, dsb.

iii. Komputer.